7.0 REFLEKSI
SITI
MIRANI BINTI CHE RAHIM (900529035056)
Program Bina Insan Guru (BIG) dilaksanakan untuk memenuhi Latihan
Perguruan Pra Perkhidmatan. Melalui program ini, unsur-unsur hidup bermoral dan
beragama dapat diterapkan dalam diri saya serta rakan-rakan sebagai fokus utama
dalam proses pembinaan insan guru. Ia juga merupakan satu program yang dilaksanakan bagi melahirkan insan guru yang
berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah
yang tinggi. Melalui aktiviti yang dijalankan, semangat berpasukan dan
mengamalkan hidup bersepakat, bekerjasama dan bertanggungjawab kepada pasukan
dapat ditingkatkan. Contohnya semasa aktiviti darat, kembara hutan. Rakan-rakan
yang cedera ataupun kepenatan tidak ditinggalkan begitu sahaja tetapi dibantu
oleh rakan-rakan yang lain.
Terlebih dahulu saya ingin
mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya,
saya dapat menyiapkan folio Bina Insan Guru (BIG) bersama rakan-rakan saya yang
sentiasa bersemangat dan berdedikasi. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima
kasih kepada tutor kumpulan saya Encik Chai, kerana sentiasa berada bersama
usrah kami sepanjang kursus Bina Insan Guru ini diadakan dan memberikan
kerjasama yang terbaik dalam memastikan kumpulan kami supaya sentiasa bersedia
dalam melakukan apa sahaja aktiviti. Tidak lupa juga kepada Kem Komandan kami
iaitu En. Azahar kerana telah menjaga dan mentadbir kami dengan penuh dedikasi
dan berkarisma. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada rakan-rakan sekelas
saya kerana telah memberikan kerjasama dan menunjukkan sifat setia kawan yang
begitu tinggi selama kursus Bina Insan Guru ini diadakan.
Semasa
hari pertama berada di Kem Alapong, Lundu, saya telah melakukan beberapa
aktiviti yang begitu menyeronokkan. Sesi taklimat yang diadakan sebelum
perkhemahan di dewan kuliah A bersamapara pensyarah juga amat bermakna kerana
di sini saya telah diberitahu mengenai aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan
semasa kursus Bina Insan Guru ini akan dijalankan. Saya juga telah telah
diingatkan dengan peringatan keselamatan mengenai aktiviti berakit dan aktiviti
air. Semasa aktiviti air, kasut air wajib dibawa bagi mencegah sebarang
kecederaan dan memastikan para pelajar dapat bergerak dengan bebas semasa di dalam
air. Bagi aktiviti darat pula, saya diberitahu mengenai persediaan kasut sesuai
untuk berjalan di dalam hutan bagi mengelakkan tergelincir semasa bergerak.
Setibanya di Kem Alapong
kami diberi taklimat oleh Encik Mahdi .Selepas taklimat, saya bersama-sama ahli
kumpulan khemah saya telah bersama-sama mengangkat barang ke khemah
masing-masing dan kami membantu pelajar lelaki mendirikan khemah mereka. Sememangnya
aktiviti ini amat mencabar dan memerlukan kerjasama setiap ahli kumpulan dalam
memastikan khemah yang bakal dibina nanti tidak mudah jatuh atau rosak. Tambahan
pula, kami juga harus memastikan cover
sheet dipasang dengan elok kerana ingin memastikan air tidak memasuki
khemah semasa hujan nanti.
Pada hari pertama ini saya
mendapati hubungan keakraban bersama pelajar dari kelas Sains dan Bahasa Cina dan
ahli kumpulan semakin bertambah rapat. Ini selaras dengan objektif Bina Insan
Guru yang ingin memastikan para pelatih guru dapat membina hubungan sosial
bersama masyarakat apabila posting kelak.
Aktiviti seperti taklimat dan memasang khemah sememangnya mengajar kita tentang
keukhwahan diri bersama kawan-kawan kita bak kata pepatah, “Berat sama dipikul,
ringan sama dijunjung”. Sebagai bakal guru saya harus memastikan diri saya
sentiasa bersedia dalam apa jua cabaran yang bakal mendatang dengan cabaran
guru semakin bertambah mencabar dengan kerenah murid-murid pada zaman sekarang.
Daripada kemahiran pula, saya telah memperbaiki lagi skill saya dalam memasang khemah secara betul dan tepat. Kemahiran
ini dapat saya aplikasikan dalam dunia perguruan kelak di mana saya mungkin
harus membawa murid-murid saya untuk pergi berkhemah. Oleh itu, amat penting
sekali bagi diri saya untuk meningkatkan kemahiran diri dalam proses menjadi
seorang guru yang berkaliber dan berkarisma.
Selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, saya haruslah menjadikan kursus Bina Insan Guru ini
sebagai satu platform untuk terus menjadikan nilai-nilai guru sebagai jati diri
saya agar satu hari nanti saya akan menjadi seorang guru yang baik. Segala
nilai-nilai murni dan moral yang baik haruslah saya contohi agar semua
nilai-nilai seorang guru dapat diterapkan dalam diri saya khususnya. Semasa
aktiviti menyediakan makanan berdasarkan kumpulan, saya mendapati aktiviti ini
sangat baik kerana pada waktu ini kita mengenali siapa yang mudah bekerjasama
dan siapa yang tidak bertanggungjawab dengan tugas yang diamanahkan kepadanya.
Oleh itu dapat saya katakan bahawa setiap orang tidak sempurna dan kita
haruslah memperbaiki diri kita supaya lebih baik daripada sebelumnya.
Program BIG ini memberikan
banyak faedah dan kebaikan kepada saya. Kebanyakan program yang dijalankan
memberi manfaat sebagai persediaan saya yang bakal menjadi guru. Faedah yang
utama yang saya dapat ialah kepentingan bekerjasama dan kesepaduan ketika
berada dalam kumpulan. Hal ini demikian kerana
kebanyakan aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan. Tanpa kerjasama
yang jitu, sesuatu kumpulan tidak akan melakukan tugas secara optimum.
Kerjasama sepasukan amatlah penting. Tanpanya juga tiadanya persefahaman antara
ahli kumpulan. Contohnya aktiviti tongkat amanah. Sekiranya semua ahli tidak
bekerjasama dengan baik, pasti kumpulan tersebut akan gagal dalam aktiviti ini.
Selain
itu, memandangkan kebanyakan aktiviti berdasarkan kumpulan, ia melatih sikap
kepimpinan ketua. Semasa BIG kami bergilir-gilir menjadi ketua ahli
jawatankuasa dan ketua kumpulan setiap 6 jam sekali. Ketua memainkan peranan
yang penting bagi memastikan kumpulan berada dalam keadaan yang sejahtera di
samping menjaga kebajikan ahli kumpulannya. Selain itu, tanpa sikap kepimpinan
seorang ketua yang berkaliber kumpulan tersebut tidak akan maju setapak. Di
sini saya belajar sikap kepimpinan perlu wujud di dalam diri setiap manusia.
Hal ini demikian kerana, sikap kepimpinan itu akan diaplikasikan ketika kita
mengarahkan atau memberi arahan kepada murid-murid yang bakal kita didik dan
asuh kelak.
Tambahan
pula, manfaat lain yang dapat saya peroleh ketika program ini ialah sikap
berdiri atas kaki sendiri atau dikenali sebagai berdikari. Sikap berdikari ini
muncul dan timbul dalam diri setiap peserta ketika para peserta mengikuti aktiviti
air dan darat iaitu berakit, water
confident, kembara, tongkat amanah dan
sebagainya. Hal ini demikian kerana kami semua diminta memakan masakan yang
dimasak sendiri. Barang mentah yang disediakan ialah ayam, ikan, bawang, beras
dan sebagainya. Di samping itu, apabila diserahkan barang mentah ini, ia
mewujudkan sikap tanggungjawab individu tersebut ke atas barang tersebut. Hal
sedemikian akan menanamkan sikap tanggungjawab individu kepada segala tugas
atau amanah yang diberikan. Hal ini dibuktikan apabila kami bergilir-gilir
membawa periuk dan barang mentah yang bakal kami masak semasa aktiviti darat
dan laut.
Selain
itu kebaikan lain yang saya peroleh ketika BIG ini ialah sikap kepercayaan
peserta kepada ahli kumpulannya. Sewaktu berakit, kami semua diminta untuk
berkumpul di satu tempat di tengah-tengah lautan. Setibanya kami di sana,
peserta yang berada di belakang atau dipanggil sternman perlu berdiri di atas
kayak. Di sini sternman perlu mempercayai dan yakin kepada rakan yang berada di
hadapan untuk memegang peddle rakit
bagi mewujudkan kestabilan.
Manfaat
yang seterusnya hasil daripada BIG ini ialah mengajar seseorang individu agar
mempunyai stamina yang baik dan kuat. Hal ini demikian kerana, semasa aktiviti
kembara, para peserta terpaksa mendaki dan menuruni curam yang curang serta
berjalan jauh. Ramai peserta yang tidak berupaya atau tidak larat atau
tercungap-cungap ketika berjalan di dalam hutan. Bagi seorang guru, penting
baginya mempunyai stamina yang tinggi kerana tugas seorang guru bukan hanya
mengajar di dalam kelas sewaktu P&P. Seorang guru juga perlu bergiat aktif
di dalam aktiviti luar bilik darjah iaitu kurikulum di mana wujudnya persatuan
dan kelab, unit beruniform serta sukan dan permainan. Jika seorang guru yang
lemah dari segi stamina, kemungkinan besar sukar untuk guru tersebut
melaksanakan setiap aktiviti luar bersama dengan para pelajar kelak.
Kebaikan
yang seterusnya ialah saya dapat belajar mengenai cara untuk mengagihkan kerja
berdasarkan keupayaan masing-masing. Sewaktu program bersama kaunselor pelajar
iaitu Puan Rojiah, saya dapat mengetahui keadaan psikologi saya banyak ke arah
mana. Ini bermaksud adakah saya sebenarnya layak atau tidak untuk menjadi
seorang guru. Bagi pendapat saya, soalan kajian yang dilakukan oleh John L.
Holland perlu diambil oleh semua masyarakat demi menentukan tugas-tugas atau
tanggungjawab yang sesuai dengan individu tersebut.
Seterusnya, semasa slot ujian
psikologi bersama Pn. Rojiah , saya telah dapat mengenalpasti apakah ciri-ciri
serta kecenderungan saya terhadap sesuatu bidang. Saya mendapat skor SIC(
Sosial, investigatif dan convensional). Melalui skor ini, saya dapat tahu
kecenderungan saya ke arah mana dan sama ada saya sesuai untuk menjadi guru
atau pun tidak. Walaupun skor untuk seorang guru adalah SAE ( Sosial, Artistik
dan Enterprise), saya bernasib baik kerana melalui ujian yang saya jalankan,
saya mempunyai skor sosial di mana skor ini sangat diperlukan untuk menjadi
seorang guru.
Tambahan
pula, semasa BIG juga, walaupun kami melakukan banyak aktiviti fizikal,
motivasi dan pengurusan kendiri, kami juga telah disediakan dengan tazkirah
yang sangat berguna buat kami. Saya masih ingat lagi satu hadis Rasullah S.A.W
yang disampaikan oleh Ustaz Ali dalam satu sesi tazkirah yang berbunyi: “Islam
itu datang dalam keadaan dagang (asing) dan akan kembali dalam keadaan dagang.
Maka beruntunglah orang yang dagang.” Hadis ini menerangkan bahawa Islam pada
suatu ketika dahulu datang dalam keadaan asing di mana Islam ini tidak dikenali
dan sangat sedikit golongan yang mengamalkan ajaran Islam dan Islam ini juga
akan berakhir dalam keadaan asing juga. Jadi, beruntunglah orang yang dagang di
mana golongan ini amatlah sedikit. Harapan saya semoga saya tergolong dalam
kalangan orang yang dagang.
Dengan
adanya program BIG ini dapat mengeratkan lagi hubungan atau semangat kawan
antara satu kumpulan. Hal ini demikian kerana jujur saya ingin mengatakan saya
tidak berapa kenal dengan ahli kelas lain seperti Bahasa Cina Dan Sains. Jadi
di sini, saya dapat mengenali mereka walaupun tidak 100 peratus lagi. Paling
tidak pun saya dapat mengetahui nama dan tinggal di mana. Hal ini berlaku
kerana masing-masing sibuk melakukan hal sendiri. Jadi di sini BIG menjadi
medan untuk saya mengenali kawan-kawan saya yang sebelum ini tidak sempat
bertegur sapa.
Akhir kata saya rasa
beruntung kerana dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)
terdapatnya aktiviti seperti BIG. Hal ini kerana tanpa BIG kemungkinan besar
kita tidak dapat belajar bagaimana untuk menjadi guru yang baik. Secara
tuntasnya, saya dapat katakan bahawa kursus Bina Insan Guru ini telah mencapai
hampir kesemua objektifnya dalam melahirkan guru-guru yang cemerlang dan berkualiti
mengikut piawaian Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya mengharapkan kursus Bina
Insan Guru pada masa akan datang lebih menyeronokkan sekaligus lebih berkualiti
dan bermafaat untuk para guru semua. Sedikit mutiara kata daripada Imam Ghazali
untuk renungan kita semua,
“Bersungguh – sungguhlah Engkau dalam menuntut ilmu,
jauhilah kemalasan dan kebosanan kerana jika tidak demikian engkau akan berada
dalam bahaya kesesatan. – Imam Ghazali”
8.0 PENUTUP
Kesimpulannya,
program BIG iti telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya bagi melahirkan guru
pelatih yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai
ketahanan rohani, mental dan fizikal serta bermanfaat kepada masyarakat selaras
dengan nilai- nilai keguruan. Saya berharap semoga segala pengalaman yang saya
kutip sepanjang program BIG ini dapat member manfaat kepada saya untuk
memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Para guru pelatih juga dapat
menjalankan pelbagai ujian semasa program ini antaranya ujian konflik diri,
mengenal potensi diri, kerjaya dan ijian psikologi. Melalui ujian ini, para
guru pelatih dapat mengenali potensi diri dan kecenderungan masing-masing.
Malah, para guru pelatih dapat membuat refleksi diri dan mengubah sikap
masing-masing agar dapat terus menjadi seorang pendidik yang baik pada masa
hadapan.