kkbi edu3101


1.0 PENGENALAN
Tugasan kerja kursus pendek bagi matapelajaran Falsafah dan Pendidikan di Malaysia (EDU 3101) telah diberikan oleh pensyarah pembimbing, Encik Nazamud-din Bin Haji Alias pada . Tugasan ini telah dijalankan secara berkumpulan dan kumpulan kami terdiri daripada tiga orang ahli iaitu Clemen Wong Kiin Yiing, Siti Mirani binti Che Rahim dan Amalina binti Mohd Nawawi. Kami telah terpilih bagi memurnikan tajuk mengenai konsep modal insan dan kerjaya guru sebagai ibadah serta mengapa perlunya guru untuk memahami konsep tersebut.
            Tujuan utama pelaksanaan kerja kursus ini adalah bagi melengkapkan diri para guru pelatih dengan pengetahuan tentang Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru di samping memahami pelbagai peranan dan tugas guru dalam meningkatkan profesionalisme. Namun kefahaman dan penghayatan perlu dititikberatkan agar apa yang dipelajari dan dihasilkan bukan sekadar menjadi teori semata. Setiap ilmu dan kemahiran yang diperolehi secara langsung dan tidak langsung melalui kerja kursus ini perlu diadaptasi ke dalam kehidupan harian para guru pelatih.
            Modal insan dan kerjaya guru sebagai ibadah mempunyai kaitan yang rapat. Hal ini kerana guru telah menggalas tugas mendidik masyarakat bagi melahirkan generasi modal insan kelas pertama, dan segala usaha serta penat lelah mereka diikhlaskan sepenuh hati tanpa meminta sebarang ganjaran. Perkara inilah akan dihuraikan di sepanjang tugasan ini.
 

2.0 KONSEP MODAL INSAN DAN KERJAYA GURU SEBAGAI IBADAH
2.1 MODAL INSAN

MODAL INSAN
BARAT
·      Lebih kurang 100 tahun lepas
·      Pelopor : Arthur Cecil Pigou, Jacob Mincer, Gary Becker
·      Menyerupai konsep tenaga buruh Karl Marx
·      Mementingkan pembangunan material
ISLAM
·      Lebih kurang 1430 tahun dahulu
·      Al-Quran dasar utama
·      Berfokus kepada
·      Mementingkan pembangunan Rabbaniah (ketuhanan)
·      Pembangunan hati, akal dan jasmani
MODAL INSAN DI MALAYSIA
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Sekitar tahun 2006 Malaysia dibawah pimpinan Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah memberi penekanan kepada isu modal insan. Kamus Dewan (1997) mendefinisikan modal sebagai menghasilkan sesuatu yang menambah kekayaan; manakala insan, kata serapan Bahasa Arab membawa maksud manusia. Modal insan di sini dapat diertikan sebagai potensi, kemahiran atau tenaga manusia sedia ada yang digunakan untuk mencapai matlamat pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara.
2.1.1 MODAL INSAN DI BARAT
Menurut cendikiawan Barat, modal insan ditakrifkan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna pakai dalam pengambilan pekerja dan dalam hal lain, mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara (Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor, 2007). Istilah modal insan atau human capital pertama kali diutarakan oleh Arthur Cecil Pigou (1877 – 1959) dalam A Study in Public Finance pada tahun 1928. Pembangunan modal insan di Barat amat ditekankan bagi memberi pulangan kepada ekonomi negara. Secara mudahnya modal insan dibentuk di Barat demi untuk keuntungan negara itu sendiri.
2.1.2 MODAL INSAN DALAM ISLAM
Menyoroti kembali sejarah perkembangan Islam, jelas terlihat keruntuhan tamadun manusia yang mengalami keruntuhan. Masyarakat Arab jahiliyyah sebelum kedatangan Islam melalui pesuruh Allah, Muhammad bin Abdullah merupakan satu masyarakat yang berhati binatang. Anak perempuan dikuburkan hidup-hidup, arak dan judi menjadi teman seharian, isteri umpama barang dagangan dan pelbagai senario negatif yang berlegar disekitar mereka. Wan Salim Wan Mohammad Noor & Hamdan Mohd Hassan melalui Shaikh Abdullah bin Hassan Mydin Abdullah & Issham bin Ismail mengatakan; “manusia di seluruh dunia pada ketika itu dikuasai nafsu dan kepentingan diri yang ekstrim. Mereka karam di dalam pandangan hidup kebendaan (materialisme) dan memakai undang-undang rimba belantara”.
            Dalam dunia Islam sememangnya tiada istilah khusus untuk menerangkan modal insan. Namun konsep pembangunan rijal (generasi) dilihat menjurus ke arah pembangunan modal insan. Jika disingkap kembali sejarah awal Islam, antara rijal yang berjaya dibentuk oleh Rasulullah melalui bimbingan wahyu dari Allah termasuklah Abu Bakar, Saidina Ali, Bilal bin Rabah dan Siti Khadijah. Kesemua mereka sememangnya mempunyai personaliti yang sangat mantap dari segi jasmani dan rohani. Rasulullah telah berjaya melahirkan generasi sebegini dengan menerapkan ilmu ketuhanan sebagai asas utama hidup insan.
            Lebih 1400 tahun yang lampau Islam telah mendahului mana-mana individu dalam usaha membangunkan modal insan melaui wahyu-wahyu yang diturunkan kepada ‘guru teragung’, Nabi Muhammad. Rasulullah s.a.w. membangunkan modal insan dengan memberi keutamaan dan penekanan kepada pendidikan tauhid yang benar. Nabi Muhammad menegaskan menuntut ilmu adalah suatu kewajipan semua manusia baik lelaki mahupun wanita. (Shaikh Abdullah bin Hassan Mydin Abdullah & Issham bin Ismail). Islam hadir membawa sinar kebenaran kepada manusia. Penindasan dan eksploitasi ke atas wanita mula dipadam. Islam cuba membangunkan modal insan yang baik dan berguna di duni adan akhirat.
2.1.3 MODAL INSAN DI MALAYSIA
Namun di Malaysia istilah modal insan ini telah disesuaikan dengan suasana dan penerimaan masyarakat. Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). Dalam erti kata lain, modal insan adalah individu yang mampu menghadapi segala cabaran hidup, sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menerima sebarang tanggungjawab serta menjalankannya dengan penuh dedikasi tanpa meninggalkan aspek akhlak dan moral.
2.1.3.1  MODAL INSAN DAN WAWASAN 2020
Revolusi minda Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ini selaras dengan dasar Wawasan 2020 yang telah diperkenalkan pada 1991 dalam Rancangan Malaysia Keenam. Bidang keilmuan atau pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama. Oleh hal yang demikian pendidikan di Malaysia tidak hanya tertumpu kepada ilmu keduniaan semata malah ilmu akhirat dan ilmu agama turut diberi penekanan. Hal ini telah ditegaskan di bawah Wawasan 2020, cabaran keempat; membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur (Mok Soon Sang, 2009).
            Masyarakat yang cuba ditonjolkan dalam cabaran keempat Wawasan 2020 ini seiring maknanya dengan rangkai kata modal insan. Cabaran ini bukan mengimpikan masyarakat yang hanya indah pada luarannya bahkan mensasarkan generasi yang gemilang dari dalam dengan memberi penekanan kepada nilai keagamaan dan kerohanian.
2.1.3.2  MODAL INSAN DAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)
Salah satu dasar yang telah digarap dalam Pembangunan Modal Insan (PMI) adalah menyediakan akses pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Ini bertepatan dengan unsur pertama Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berusaha mewujudkan suasana pendidikan sepanjang hayat. Terdapat tiga peringkat pembelajaran formal di Malaysia dalam usaha mewujudkan suasana pendidikan sepanjang hayat (Mok Soon Sang, 2009):
      i.        Pendidikan asas di rumah dan tadika.
    ii.        Pendidikan di sekolah rendah dan sekolah menengah.
   iii.        Pendidikan selepas sekolah iaitu di maktab, institut pendidikan tinggi, tempat kerja, komuniti tempatan, rumah persendirian, berbentuk teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), kursus, seminar, forum dan maklumat media-massa.
            Enam daripada lapan teras dasar PMI bersangkutan dengan pendidikan. Hubung kait antara keenam-enam teras berkenaan jika diperkukuhkan dengan komitmen dari guru, ibu bapa dan masyarakat akan melahirkan modal insan kelas pertama. Ibnu Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah telah menggarapkan seuntai kata; “kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah serta makna kepada manusia dan bangsa tersebut”. Tidak dapat disangkal lagi betapa pentingnya ilmu dalam usaha membentuk dan membina modal insan. Lapan teras dasar PMI tersebut adalah (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat):
      i.        Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan supaya ianya berkualiti dan releven dengan keperluan semasa;
    ii.        Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan negara
   iii.        Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran, prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar;
   iv.        Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan pasaran;
    v.        Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
   vi.        Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan;
  vii.        Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan
viii.        Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.
 
2.1.3.3        MODAL INSAN DAN PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN (PIPP)
Pendidikan sepanjang hayat yang dimaksudkan bukan sekadar berlegar di sekitar bilik darjah dan subjek-subjek wajib di sekolah tetapi ia merangkumi keseluruhan skop ilmu pengetahuan atau pendidikan tidak formal. Ini termasuklah isu semasa, politik, kemahiran sosial dan ekonomi. Pendidikan ekonomi pada hakikatnya merupakan satu bidang yang sesuai untuk membangunkan modal insan seperti yang disarankan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), khususnya ciri-ciri modal insan seperti berupaya untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru dan ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah-ubah (Toh Wah Seng, 2008).
            Teras strategik PIPP jelas menunjukkan sokongan kepada PMI. Fokus diarahkan pada teras kedua PIPP iaitu membangunkan modal insan. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menjalankan tugas dalam menyediakan generasi muda Malaysia dengan seluas-luas peluang bagi (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010);
       i.        memperkembangkan potensi diri,
     ii.        melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta
    iii.        membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi negara di mata dunia selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
2.2  KONSEP KERJAYA GURU SEBAGAI IBADAH
2.2.1 KONSEP GURU : MENGAPA MEMILIH KEGURUAN SEBAGAI PROFESYEN?
Rajah 2 : Faktor Pemilihan kerjaya guru
                       
2.2.3.1        FAKTOR PENGARUH KELUARGA TERUTAMA IBU BAPA
Rajah 3 : Pengaruh keluarga
 
Dorongan orang lain dalam kehidupan kita sedikit sebanyak memberi kesan kepada pemilihan kerjaya. Diantara orang yang dianggap berpengaruh di dalam kehidupan kita terdiri dari ibu bapa, anggota keluarga, guru, rakan sebaya dan lain-lain. Pengaruh ibu bapa diperolehi dari didikan yang diberikan sejak dari kecil dengan mempengaruhi pendapat dan nilai mereka. Ibu bapa adalah orang yang pertama memindahkan kepada anak-anak segala warisan sosial, kebudayaan dan nilai serta adat kebiasaan melalui pengalaman mereka. Secara tidak langsung ibu bapa turut memainkan peranan di dalam membentuk minat anak-anak mereka terhadap sesuatu perkara termasuklah di dalam soal memilih pekerjaan. (Salehuddin & Mahadi, 2005).
Mengikut Margaret Mead (di dalam Canger, 1973), di dalam budaya yang stabil biasanya anak-anak menghormati ibu bapa sebagai pembimbing mereka kerana ibu bapa dianggap lebih matang dan mempunyai pengalaman yang lebih luas. Malahan Morrison dan Mac Intyre (1970) mempunyai dapatan yang tidak berbeza dan menegaskan bahawa ibu bapa yang bekerja sebagai guru boleh mempengaruhi secara langsung anak-anak mereka untuk memilih profesion yang sama dan dapatan ini menguatkan lagi kepentingan pengaruh ibu bapa terhadap anak-anak. Kajian yang dilakukan oleh Fox (1961) menunjukkan seramai 75% daripada respondennya menyatakan mereka dipengaruhi oleh guru mereka apabila membuat keputusan untuk memilih pekerjaan.(Salehuddin & Mahadi, 2005).
2.2.3.2        FAKTOR PENGARUH GURU
Rajah 4 : Pengaruh guru
 
Pengaruh guru juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya di dalam kehidupan seseorang individu kerana dalam tempoh 11 tahun, seseorang kanak-kanak itu membesar dalam persekitaran persekolahan. Kenyataan di atas disokong oleh Jantzen (1981), yang menunjukkan adanya pengaruh guru dalam pemilihan pekerjaan. Pengaruh guru juga mendapat tempat dalam keenam-enam kajian Joseph & Green (1986).  Pengaruh guru tidak begitu menonjol dalam kajian yang pernah dibuat di Malaysia. Menurut Obura (1974), pengaruh ibu bapa mengatasi pengaruh guru. Dapatan yang sama diperolehi oleh Quek (1991) yang mendapati bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi pilihan kerjaya dikalangan guru pelatih teknikal. Menurutnya lagi, seramai 77.1% daripada sampelnya mengatakan bapa merupakan ahli keluarga yang paling berpengaruh berbanding dengan 22.9% yang menyatakan ibu juga mempunyai pengaruh di dalam hal ini. Manakala kajian yang dibuat oleh Noran Fauziah Yaakub (1990), menunjukkan 74% daripada respondennya tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa mereka dipengaruhi oleh guru mereka dan hanya 23% sahaja yang menyatakan mereka mendapat bimbingan daripada guru kerjaya mereka. (Salehuddin & Mahadi, 2005).
2.2.3.3        FAKTOR MINAT
Rajah 5 : Faktor minat
Menurut Sufean ( 1993 ), minat merupakan keghairahan atau kegemaran seseorang untuk melakukan sesuatu perkara. Di mana kerjaya ini tidak mempunyai kaitan langsung dalam campur tangan atau pengaruh lain. Minat mampu mendorong seseorang itu memilih sesuatu perkara atau jurusan lebih daripada yang lain. Minat adalah daya penggerak yang mendorong kita supaya memberi perhatian kepada seseorang, benda dan kegiatan. Sesuatu perkara akan dilakukan dengan baik dan sempurna jika individu yang melakukannya berminat dalam perkara tersebut, tidak kira dalam aspek apa jua sekalipun samada dalam aspek pekerjaan, aspek pengajaran dan pembelajaran ataupun permainan. Semakin tinggi tahap minat terhadap sesuatu pekerjaan, prestasi kerjaya akan meningkat. Minat dan kecenderungan menyebabkan seseorang itu lebih aktif dalam bidang tertentu (Evans, 1965).
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
2.2.3.4        FAKTOR PERIBADI
Rajah 6 : Faktor peribadi
Dalam banyak kajian yang telah dibuat, faktor sukakan kanak-kanak dan faktor suka bergaul dengan remaja sering menunjukkan adanya hubungan yang signifikan dengan keputusan seseorang memilih kerjaya perguruan. Profesion keguruan sebenarnya menyediakan banyak peluang untuk berinteraksi dengan kanak-kanak dan seterusnya dapat memahami mereka dengan lebih baik lagi. Oleh yang demikian, profesion memerlukan orang yang benar-benar menyukai kanak-kanak kerana jika seseorang guru sukakan kanak-kanak dan merasa seronok bergaul dengan kanak-kanak, maka akan wujudkan pengajaran yang berkesan (Lasley, 1980).  Seterusnya, dapatan yang sama diperolehi oleh Jantzen (1981), yang telah membuat kajian di antara tahun 1946-1979, Lau (1964), Lortie (1975) dan memetik fakta dari tesis Noran Fauziah Yaakub (1988), yang menyatakan kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pendidikan Kebangsaan Amerika Syarikat (NEA) pada tahun 1967 menunjukkan 34% daripada 2316 orang guru yang menjadi responden menyatakan mereka memilih profesion keguruan kerana ingin bekerja dengan golongan muda.
            Begitu juga dengan kajian yang dibuat oleh Wood (1978), menunjukkan sampel kajiannya memberikan sebab yang sama sebagai pilihan pertama mereka memilih profesion keguruan. Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (1982), mendapati diantara motif intrinsik yang mendorong seseorang memilih menjadi guru ialah berminat terhadap kanak-kanak dan remaja.  
Hayes (1990) telah menjalankan satu kajian ke atas mahasiswa pendidikan disebuah universiti mengenai sebab-sebab mereka memilih profesion keguruan. Hasil kajiannya menunjukkan kebanyakkan penuntut memasuki profesion keguruan kerana ingin mengubah kehidupan kanak-kanak ke arah yang lebih positif, diikuti oleh peluang untuk meluahkan daya kreatif, seterusnya sebab sukakan kanak-kanak disamping dapat menanamkan sikap tanggungjawab terhadap diri.
Seorang lagi pengkaji yang telah menggunakan penuntut kolej sebagai sampel ialah Weiner et al. (1993). Beliau telah membuat kajian mengenai sebab-sebab penuntut kolej memilih profesion keguruan sebagai kerjaya mereka. Beliau telah membandingkan diantara guru pelatih Harvard Graduate School of Education dengan guru pelatih Urban College. Hasil kajiannya menunjukkan terdapat tiga faktor utama yang dipilih oleh pelatih dari kedua-dua kolej adalah sama. Di antara sebab mereka memilih profesion keguruan kerana terdapat peluang untuk berkreatif, gembira bekerja dengan remaja dan ingin berkhidmat dengan masyarakat. Dapatan kajian oleh Weiner et al. ini bersamaan dengan penemuan oleh Adam (1982) dan Powel et al. (1993)
2.2.3.5        FAKTOR JANTINA DAN PEMILIHAN KURSUS
Rajah 7 : Fakor jantina
 
Currie (1982)  telah menyentuh mengenai pemilihan kerja berdasarkan jantina. Dapatan dari kajiannya telah menunjukkan pola pemilihan kerjaya penuntut-penuntut di Australia Barat lebih cenderung tergolong di dalam pekerjaan yang secara tradisionalnya dipadankan dengan jantina. Di dapati pekerjaan utama yang dipilih oleh penuntut wanita ialah bidang perguruan, jururawat dan sebagai ahli terapi. Sementara penuntut lelaki pula lebih meminati bidang perakaunan, kejuruteraan dan pilihan ketiga ialah perguruan. Hasil terperinci kajiannya menunjukkan sebanyak 25.1% daripada penuntut wanita telah memilih profesion keguruan berbanding dengan 10.1% daripada penuntut lelaki yang memilih bidang yang sama.
Dapatan dari kajiannya juga menunjukkan bilangan guru wanita adalah tiga kali ganda lebih ramai daripada bilangan guru lelaki di Australia Barat. Kesan dari kajian ini menunjukkan bahawa profesion keguruan adalah profesion yang boleh diidentifikasikan dengan kewanitaan. Keadaan yang hampir sama juga telah berlaku dinegara kita. Kajian Abdul Raof Dalip (1989) melaporkan bahawa di antara motif sampelnya memilih profesion keguruan sebagai kerjaya mereka adalah kerana guru sesuai dan secocok untuk kaum wanita.
Kaum perempuan memilih profesion keguruan kerana faktor fleksibiliti yang membolehkan wanita melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu dan wanita berkerjaya dengan berkesan. Kesimpulannya, Profesion keguruan secara tradisinya diterima sebagai profesion untuk wanita kerana ia membolehkan wanita berjaya di dalam kerjayanya juga di dalam urusan rumahtangga dan keluarga. Di samping ciri-ciri penting yang telah dibincangkan tadi, terdapat fakta kukuh sebagaimana yang tersurat dalam buku panduan “Muslim Women’s Rights and Responsibilities” keluaran Jabatan Perdana Menteri (1984) ada menerangkan bahawa dari sudut pandangan Islam yang berbunyi wanita Islam perlu sedar bahawa pekerjaan berbentuk pendidikan paling sesuai, secocok dengan naluri dan jasmani mereka. Berdasarkan hakikat inilah bagi pengkaji sebarang kemusykilan dan masalah tidak mungkin timbul jika bilangan guru perempuan melebihi kaum lelaki malahan ianya akan memantapkan lagi prestasi dan imej profesion keguruan.
Sesuai dengan hujah dan huraian Abd. Main (1993), beliau melihat aspek pekerjaan wanita dari sudut pandangan Islam adalah lebih baik sekiranya dengan kelulusan dan prasyarat yang sama dengan kaum lelaki tetapi kuota yang lebih tinggi diberikan kepada kaum wanita Islam untuk menjadi guru.
2.2.2  DEFINISI DAN KONSEP GURU
Rajah 8 : Definisi guru
Menurut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), ‘guru’ ertinya seseorang yang mengajar murid di sesuatu institusi pendidikan; atau menyediakan atau mengeluarkan bahan pelajaran atau memeriksa jawapan yang dikembalikan di, bagi atau melalui pusat pendidikan jarak jauh dan termasuklah Guru Besar dan Pengetua.
            Menurut Kamus Dewan Edisi ke tiga, ‘guru’ bermaksud pengasuh,pendidik dan pengajar. Dalam bahasa arab guru diistilahkan sebagai ‘mualim’ yang bermakna orang yang mengajarkan ilmu.  Dalam agama Hindu, guru merupakan simbol bagi suatu tempat suci yang berisi ilmu (vidya) dan juga pemberi ilmu. Seorang guru adalah pemandu spiritual / kejiwaan murid-muridnya. Dalam agama Buddha, guru adalah orang yang memandu muridnya dalam jalan menuju kebenaran. Seorang murid memandang gurunya sebagai jelmaan Buddha atau Bodhisattva. Dalam agamaSikh, guru mempunyai makna yang mirip dengan agama Hindu dan Buddha, namun posisinya lebih penting lagi, kerana salah satu inti ajaran agama Sikh adalah kepercayaan terhadap ajaran sepuluh guru sikh. Hanya ada sepuluh guru dalam agama Sikh, dan guru pertama, Guru Nanak Dev, adalah pendiri agama ini.
2.2.3  PERANAN GURU
Rajah 9 : Peranan seorang guru
 
 
2.2.4  KONSEP IBADAH
Rajah 10 : Konsep ibadah


 

Ibadah secara bahasa (etimologi) bererti merendahkan diri serta tunduk. Sedangkan menurut syara’ (terminologi), ibadah “ketaatan dan kepatuhan yang harus disertai dengan perasaan kasih dan cinta kepada Allah SWT disebabkan Dialah sahaja yang berhak menerima kasih dan cinta yang sebenarnya.


Rajah 11 : Keistimewaan kerjaya guru

2.2.5  KONSEP KERJAYA GURU SEBAGAI IBADAH (PERSPEKTIF AGAMA)


Rajah 12 : Kerjaya guru dari perspektif lima agama

 

 

 

 

2.2.5.1  AGAMA ISLAM


Rajah 13 : Kerjaya guru dari perspektif Agama Islam

Menurut konsep perguruan dalam islam, pendidik atau guru merupakan murabbi, mualim, muadib, alim atau ulamak. Hal ini menunjukkan guru merupakan profesion yang mulia dalam perspektif agama Islam. Guru juga dikelaskan sebagai:

a) Al-mu'allim iaitu menyampaikan ilmu yang benar

b) Al-murabbi iaitu menjayakan proses tarbiah

c) Al-mu'addib iaitu mengajarkan adab dan budi pekerti

d) Al-mursyid iaitu membentuk kepimpinan insan

e) Al-mudarris iaitu menitipkan pelajaran dan kemahiran

f) Qudwatun hasanah iaitu memberi contoh yang baik

Di samping itu, guru pergi ke sekolah dianggap sebagai pergi ke medan jihad kerana mereka bertindak untuk menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan. Mengajar dengan perasaan ikhlas dan tanpa sebarang muslihat dan tipu helah dianggap sebagai suatu ibadah. Oleh itu, keikhlasan guru dalam mencurahkan ilmu akan menjadi keberkatan kepada pelajar. Wahyu yang diturunkan dalam Surah al-‘Alaq, menyeru manusia untuk menuntut ilmu dan mencari keredaan Allah.

Ilmu membentuk keperibadian yang tinggi (bersih dan suci) serta minda yang terbuka. Semua itu diadun dari curahan ilmu dari guru dan pendidik yang mengajar. Ilmu ibarat mutiara yang bernilai tinggi apalagi ilmu yang bersangkutan dengan ilmu ketuhanan. Tugas dan tanggungjawab guru bukan hanya mendidik malah membimbing pelajar ke jalan kebenaran, ke jalan takwa dan menunjuk jalan akhirat. Guru hendaklah menyedari bahawa tugas mendidik anak bangsa merupakan suatu amanah Allah Taala yang tidak boleh disia-siakan. Guru juga mengamalkan konsep kerjayanya sebagai suatu ibadah dalam melaksanakan prinsip-prinsip “Maqasid Assyariah” (menjaga, memelihara dan memperkasakan agama, akal, nyawa, keturunan dan harta). Guru menggembeling tenaga dalam menyemai benih-benih keimanan, ketaqwaan dan keinsafan kepada generasi sekarang dan akan datang. Tokoh guru dalam Islam adalah
Rajah 14 : Ringkasan mengenai Nabi Muhammad

·         Nama beliau adalah Muhammad (570-632)
·         Dilahirkan di Mekkah.
·         Dikenali sebagai Al-Amin kerana sifatnya yang sangat jujur dan boleh dipercayai
·         Mula berkhutbah di Mekkah pada 610 TM, berdakwah tentang keesaan Allah, keperluan moral dan akhlak serta mementingkan hak sama rata antara orang miskin dan kaya.
·         Nabi Muhammad menerima wahyu ketika berumur 40 tahun, ketika berada di Gua Hira’.
·         Seorang yang sangat bertanggunjawab, mengajarkan tentang ilmu agama kepada orang-orang kafir, sabar dan tabah dalam menghadapi tentangan daripada penduduk Mekah.

Tokoh : Nabi Muhammad S.A.W
nabi Muhammad S.A.W.


 

 

 

 

 

 

 

 

 

2.2.5.2  AGAMA BUDDHA

Agama Buddha merupakan agama yang mempunyai penganut yang paling ramai di negara China. Agama ini sangat mementingkan ilmu dan disiplin yang tinggi. Tempat untuk belajar ajaran Buddha dinamakan Rumah Rahib atau disebut Sangha. Kemasukan bukan sahaja kepada rahib dan rahib perempuan sahaja tetapi kepada sesiapa sahaja yang berminat, termasuk mereka yang bukan penganut Buddha. Kaedah penyampaian adalah secara lisan sahaja. Oleh itu, murid-murid dikehendaki menghafal segala yang terkandung dalam dhamma, iaitu kebenaran dan vinaya , iaitu disiplin atau peraturan.

Rahib dan rahib perempuan Buddha juga amat dihormati oleh penganutnya. Mereka dianggap sebagai role model kerana mereka mempunyai ilmu yang lengkap dan mendalam mengenai doktrin dan disiplin Buddha. Mereka sebagai sumber di mana penganut memperoleh pahala melalui pemberian hadiah (berbentuk wang tunai atau barangan) dan sokongan moral. Sebagai balasan, rahib dan rahib perempuan dikehendaki menumpukan perhatian sepenuh kepada pengajian doktrin Buddha, bertafakur dan berhemah tinggi.

2.2.5.3   AGAMA HINDU

Menurut agama Hindu, guru merupakan wakil yang dihantar oleh Tuhan ke dunia ini. Justeru, guru merupakan pekerjaan yang mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat Hindu. Hal ini dapat dilihat melalui hieraki sosial masyarakat Hindu, guru diberi penghormatan yang amat tinggi.

Murid-murid amat menghormati guru mereka dan tetap mengikuti segala ajaran yang disampaikan agar memperoleh ilmu dan pengetahuan sama ada yang melibatkan akademik, sosial dan keagamaan yang sempurna. Tanggungjawab ibu bapa hanyalah kepada kebajikan fizikal anak-anak, sementara guru bertanggungjawab terhadap kebajikan kerohanian anak mereka. Mereka menggunakan cara hafalan. Menghabiskan masa untuk memahami setiap ayat yang terkandung dalam kitab berkenaan. Apabila guru sudah berpuas hati, barulah mereka dikatakan sudah menamatkan pengajian mereka, lalu dibenarkan meninggalkan guru mereka.

2.2.5.4  AGAMA SIKH

Menurut agama sikh, guru merupakan jambatan yang menghubungkan manusia dengan Tuhan. Betapa mulianya profesion perguruan kerana guru dikaitkan dengan Tuhan bagi perspektif agama Sikh. Guru Nanak adalah pengasas agama Sikh dan dikenali sebagai guru pertama dalam rantaian 10 orang guru. Guru yang terakhir dalam rantaian itu ialah Guru Gobind Singh.

Guru merupakan orang yang sangat penting dalam masyarakat Sikh kerana mereka dianggap sebagai pelita jalan yang akan menunjukkan jalan yang benar kepada murid–muridnya. Mereka juga mempunyai budi pekerti yang baik dan ramah tamah. Oleh itu, murid-murid mereka akan menjadi sempurna, berupaya mengatasi sebarang masalah yang dihadapi, menjadi senang hati, dan bercantum menjadi satu dengan kebanaran.

2.2.5.5  AGAMA KRISTIAN

Agama Kristian merupakan agama yang yang memberi kedudukan yang tinggi terhadap guru. Dalam agama ini sendiri, Yesus kristus merupakan seorang guru yang agung. Yesus sentiasa berusaha untuk mengajar tentang pelbagai perkara merangkumi duniawi dan surgawi dan memberi nasihat kepada anak–anak muridnya supaya mereka dapat melakukan perkara yang baik berlandaskan firman Tuhan yang terdapat di dalam Alkitab atau Bible.

Guru sebagai seorang pemimpin dan menjadi role model kepada anak-anak murid hendaklah sentiasa berusaha untuk mendidik dan memberi ilmu pengetahuan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Hal ini membuatkan seseorang guru akan sentiasa berasa puas hati kerana dapat melahirkan anak-anak murid yang berjaya dan menjadi manusia yang berguna kepada bangsa dan agama. Tuhan lebih mengetahui tujuan dan usaha kita sebagai seorang guru, keikhlasan kita akan sentiasa dilihatNya. dan Dia lebih mengetahui waktunya Dia akan membalas kebaikan kita tersebut.

2.2.6  PANDANGAN DAN PENDAPAT AHLI FALSAFAH


Rajah 15 : Pandangan dan pendapat ahli falsafah

2.2.6.1  ESSENSIALISME

Falsafah ini diasaskan oleh William C. Bagley(1938). Antara pendidik yang tergolong dalam mazhab ini ialah :

1. Thomas Briggs.

2. Frederick Breed.

3. Isaac L. Kandel.

Menurut falsafah ini, guru merupakan seorang model dan seorang yang berpendidikan dan berpengetahuan dalam kebudayaan bangsa dan nilai-nilai tradisional masyarakat. Manakala pendapat Brickman (1958) ahli-ahli essensialisme meletakkan guru di tengah-tengah (pusat) alam pendidikan. Mereka menganggap bahawa inisiatif dalam pendidikan terletak di bahu guru dan bukan di bahu pelajar. Guru juga seharusnya mencerminkan kebaikan sesuatu masyarakat.

Guru memainkan peranan utama dalam proses pendidikan, membantu pelajar memperoleh keperluan dan kualiti kehidupan orang dewasa agar mereka berjaya hidup dalam masyarakat terus menerus. (James B. Conant dan Hyman George Rickover) Guru juga harus mengamalkan sikap pimpinan demokratik, mengambil inisiatif untuk menjalankan tugas sebagai pengajar, kreatif, membentuk iklim kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan mahir menggunakan teknik peneguhan atau ganjaran dan denda.

2.2.6.2  PROGRESIVISME

Falsafah ini diasaskan di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1920-an. Falsafah ini muncul daripada pragmatisme dan kemudian dibentuk untuk pendidikan oleh John Dewey.

Menurut falsafah ini, guru merupakan pembimbing atau penasihat dalam membantu pelajar-pelajar mengenali masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dalam persekitaran yang berubah. Hal ini membolehkan murid-murid dapat belajar dengan persekitaran yang baik dan selesa.

2.2.6.3  REKONSTRUKTIVISME

Rekonstruktivisme merupakan falsafah pendidikan yang dipecahkan daripada aliran fahaman progresivisme dan menjadi falsafah sendiri. Pelopor utama ialah George S. Counts(1899- 1974) dan Harold O. Rugg(1886- 1960). Kedua-duanya ialah penyokong pragmatisme John Dewey.

            Menurut falsafah ini, peranan guru bukanlah untuk menyampaikan pengetahuan, tetapi berperanan untuk menimbulkan isu-isu sosial yang dianggap penting. Hal ini dapat membentuk kematangan di dalam pelajar dan mereka lebih mengenali diri sendiri. Di samping itu, guru perlu menerang dan mencadangkan kepada para pelajarnya bentuk masyarakat demokrasi yang merupakan suatu persekitaran yang baik di mana manusia digalakkan untuk membentuk bakat yang ada pada diri mereka.

2.2.6.4  EKSISTENSIALISME

Falsafah ini berdasarkan Naturalisme Rousseau dan mazhab Humanis. Dipelopori oleh Carl Rogers(1902- 1987) .

Menurut falsafah ini pula, sebagai manusia yang bebas, guru mestilah berusaha untuk mendedahkan dan memerangi semua kuasa dalam kebudayaan dan masyarakat yang cuba menghilangkan sifat-sifat perikemanusiaan manusia dengan menafikan kebebasannya. Tugas ini adalah sangat berat tetapi sebagai seorang guru, kepercayaan masyarakat hendaklah dibalas dengan kejayaan. Oleh itu, seorang guru hendaklah sabar dan berusaha dengan gigih untuk mengecapi kejayaan yang diingini.

Di samping itu, falsafah ini menekankan guru untuk menghormati kebebasan pelajar seperti mana dia menilai dirinya sendiri. Hal ini memberikan kebaikan kepada guru dan murid-murid kerana saling menghormati antara satu sama lain.

2.2.7  KONSEP KERJAYA GURU SEBAGAI IBADAH ZAMAN YUNANI


Rajah 16 : Ahli fal safah Yunani

Sejarah telah mencatatkan bahawa kebanyakan amalan pendidikan kita sekarang sebenarnya telah wujud sejak beberapa abad yang lalu. Mengikut Noran Fauziah Yaakob dan Mahdzan Ayob (1990) di dalam bukunya yang bertajuk ‘Guru Dan Perguruan’, dalam kehidupan manusia yang terawal, orang-orang Yunani  memang terkenal dengan ahli-ahli falsafahnya yang memberi sumbangan yang besar kepada pendidikan. Falsafah mereka itu telah dipelajari oleh berbagai-bagai bangsa di dunia termasuk orang-orang Arab yang beragama Islam.

Terdapat 3 orang ahli falsafah Yunani yang telah mempengaruhi pemikiran mengenai pendidikan dalam tamadun manusia. Mereka ialah Socrates (469-399 S.M), Plato (427-347 S.M.) dan Aristotle (384-322 S.M.).

2.2.7.1        SOCRATES


Rajah 17 : Peribadi Socrates

 


Rajah 18 : Sumbangan Socrates

Socrates mempercayai bahawa pendidikan dan masyarakat adalah berhubung rapat. Sekiranya pendidikan berjaya dan dapat melahirkan warganegara yang baik, maka masyarakat akan menjadi kuat serta kukuh. Sebaliknya, pendidikan yang lemah akan mewujudkan masyarakat yang lemah, iaitu masyarakat yang mudah dijatuhkan oleh unsur-unsur negatif yang terdapat dalam sistem pendidikan yang lemah. Beliau telah memperkenalkan kaedah “soal jawab” yang kemudian dipanggil kaedah Socrates. Kaedah ini telah wujud sejak 2500 tahun yang lampau di Kota Athens, Yunani (Greece). Pada masa itu Socrates sering mengadakan sesi soal jawab dengan warga Athens. Beliau sering mengemukakan soalan untuk mencari kebenaran.

            Sebagai pendidik, Socrates mahukan satu masyarakat yang terdiri daripada warganegara yang baik. Mewujudkan masyarakat yang baik menjadi tema utama dalam sesi-sesi perbincangan yang diadakan oleh Socrates. Apa yang disarankan oleh Socrates tidak berbeza dengan apa yang terdapat dalam pelbagai kurikulum di seluruh dunia pada hari ini. Tidak kira sama ada penyampaian ilmu dibuat secara demokratik atau propaganda, tujuan akhir setiap negara ialah untuk mendapatkan warganegara yang setia kepada tanah tumpah darah mereka sendiri.

2.2.7.2        PLATO

Plato adalah salah seorang  daripada murid Socrates yang sudah terpengaruh dengan gurunya. Selepas kematian Socrates yang begitu tragis, Plato meninggalkan bandar Athens untuk pergi belajar di sebuah tempat di luar Athens. Beliau hanya pulang semula ke Athens setelah sekian lama di perantauan untuk mempopularkan idea-idea Socrates dan membentuk prinsip-prinsip negara yang unggul.

            Sebagai anak muda, Plato merupakan seorang yang idealis. Beliau mempercayai bahawa tujuan pendidikan untuk membentuk manusia yang dapat memberi sumbangan kepada negaranya. Sekiranya negara telah dibentuk dengan

sempurna, negara akan menjadi negara yang unggul atau utopia. Falsafah Plato

terkandung dalam bukunya yang bertajuk The Rebublic dan Laws. Plato kemudian membuka sebuah sekolah yang dinamakan Akademia. Pelajar-pelajar  dari seluruh dunia datang belajar dengannya. Menurut Plato, pendidikan tidak berlaku hanya dalam Akademia sahaja tetapi dalam semua persekitaran yang dihadapi oleh kanak-kanak.

Oleh kerana Plato melihat pendidikan sebagai memenuhi keperluan negara, maka adalah wajar sekolah diletakkan di bawah kerajaan yang memerintah. Beliau juga mempercayai bahawa semua kanak-kanak hendaklah diberikan pendidikan yang cukup dan perhatian hendaklah diberikan kepada perbezaan individu yang terdapat dalam kalangan kanak-kanak. Dengan cara ini, kanak-kanak dapat belajar mengikut kebolehan masing-masing. Kebolehan setiap individu akan dibentuk ke peringkat maksimum supaya apabila tamat persekolahan nanti, para pelajar dapat berkhidmat kepada negara mereka.


Rajah 19 : Plato

2.2.7.3        ARISTOTLE

Aristotle dianggap sebagai seorang guru yang paling penting kepada perkembangan mengenai pendidikan. Aristotle merupakan murid kepada Plato yang telah menghabiskan masa selama 20 tahun belajar dan mengajar di Akademia. Beliau mempunyai dua kepercayaan mengenai dunia pendidikan. Pertama, pendidikan adalah penting bagi mengekalkan masyarakat dan hanya pemerintah mengelola pendidikan warganegaranya. Kedua, beliau mempercayai bahawa setiap orang harus mempelajari satu teras ilmu yang menjadi pendidikan asas  bagi semua orang.

            Selepas kematian Plato, Aristotle diminta oleh Raja Philip II dari Macedonia untuk mendidik anaknya Iskandar Dzulkarnain. Aristotle mengajar anaknya selama tiga tahun. Setelah selesai tugasnya di Mecedonia, Aristotle kembali ke Athens dan menubuhkan sebuah universiti sains bernama Lyceum. Di universiti inilah bermulanya keraja-kerja asas bagi bidang sains yang dikenali ramai pada hari ini iaitu, Boilogi, Zoologi dan Botani. Dengan bantuan Raja Iskandar Dzulkarnain, spesimen dari seluruh dunia diperoleh dan dihantar ke Lyceum untuk dikaji dan dianalisis.


Rajah 20 : Sumbangan dan riwayat hidup Aristotle

2.2.8 PANDANGAN AHLI FALSAFAH ISLAM ZAMAN PERTENGAHAN

Antara tokoh-tokoh Islam yamg terkemuka semasa zaman Islam adalah Ibnu Rush, Al-Ghazzali, Ibn Khaldun. Mereka bukan sahaja terkemuka dalam bidang falsafah tetapi juga dalam bidang telologi, undang-undang Islam dan reformis agama.

2.2.8.1        AL GHAZALI

 



Rajah 21 : Biodata al-Ghazali

Al–Ghazzali berpendapat bahawa proses pendidikan hendaklah merangkumi aspek aspek intelek latihan jasmani serta pembinaan akhlak yang mulia, berani dan hormat- menghormati. Beliau menegaskan pendidikan ialah sifat murni dan harun kongruen dengan versi Al-Quran yang suci. Mengikut beliau pedagogi adalah berkaitan rapat dengan proses manusia yang implikasinya ialah proses pendidikan hanya dapat diamalkan melalui sikap rendah diri, penumpuan perhatian, mendengar dengan teliti dan kolaborasi antara individu. Beliau juga berpendapat pendidikan adalah satu proses logikal, bermula dari aspek hidup yang mudah kepada aspek hidup yang kompleks. Guru harus memainkan peranan sebagai contoh teladan dan menyokong pelajar mereka untuk mengisikan keperluan dan perkembangan potensi mereka secara menyeluruh.

2.2.8.2        IBNU RUSH (1126-1198)

Ibnu Rush ialah ahli falsafah Spanish-Arab , saintis,pakar jurisprudens yang dikenali sebagai Averroes dalam bahasa Latin.

Seperti Al-Ghazali, Ibnu Rush mengkaji falsafah Aristotle dan menggunakan hasil kajiannya menyelesaikan konflik antara pemikiran dengan kepercayaan. Mengikut beliau pemikiran dan kepercayaan adalah sepadan di antara satu sama lain, boleh ditemui m,elaliu logi Aristotle tetapi ai juga boleh didedahkan melalui kiasan yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran.

Sinteksis pemikiran Yunani dan Islam oleh Ibnu Rush banyak mempengaruhi ahli teologi Kristian terutamanya Thomas Aquinasyang juga menggunakan logik Aristotle untuk membukti percayaan agama Kristian. Usaha Ibnu Rush mensintesis agama dengan falsafah adalah difahamkan oleh ramai penganut Katolik Roman sebagai doktrin “ kebenaran bilangan berganda”.

2.2.8.3        IBNU KHALDUN

Ibnu Khaldun juga merupakan ahli falsafah Spanish-Arab , ahli Sejarah, politik dan jurisprudens. Beliau dilahirkan di Tunis. Sumbangan beliau ialah penulisan buku kitab Al-Ibar (sejarah global) yang mengandungi kronologis secara terperinci tentang sejarah kehidupan Arab dan Barbes di Afrika Utara.

Ibnu khaldun menghubungkaitkan kebangkitan masyarakat manusia kepada kesesuaian keadaan geografikal dan iklimnya dan akibatnya mewujudkan kontrak sosial antara kumpulan strata yang sering berkonflik., demi berjanji hidup bersama secara kolaperatif dan kolaborasi.

Mengikut ibnu khaldun, kepaduan sosial adalah kerana kuasa agama dan dikuatkuasakan oleh pemerintah autokratik. Bagaimanapun, beliau berpendapat absolutisme walaupun membawa kemakmuran tetapi akhirnya menjadi kuasa kejam, merosot dan digulingkan. Proses kitaran dinamik ini diteruskan selama tiga generasi yang mana beliau menyifatkan hukum sosial dan fizikal. MOK SONG SANG (2008).

2.2.9     PANDANGAN AHLI FALSAFAH TIMUR

2.2.9.1        MAHATMA GANDHI (1986-1948)

Gandhi merupakan negarawan, pemimpin politik dan rakyat spiritual India. Beliau di gelar nama Mahatma (great soul) dan arkitek Merdeka. Gandhi pula seorang ahli falsafah dan mengamal satyagraha, iaitu tindakan bukan kekejaman yang konstruktif terhadap penindasan.

Asas pemikiran Gandhi adalah diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk kitab Injil, Civil Disobedience Thoureau, dan yang paling penting ialah falsafah kasih sayang universal dan penentangan pasif terhadap kejahatan yang diutarakan oleh Tolstoy, seorang penulis di Russia yang terkemal dengan bukunya berjudul War and Peace.

Gandhi percayai hidup manusia adalah sebahagian di dalam semesta yang mengandungi satya (kebenaran). Implikasinya ialah setiap insan harus saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Percayaan Gandhi yang utama adalah amalan prinsip ahimsa,iaitu tidak membawa kecederaan serta memberi hormat kepada semua insan termasuk haiwan. Dengan mensintesis kedua-dua falsafah dan kepercayaan, Gandhi merangkumi konsepnya dalam satyagraha, iaitu kebenaran, tekad dan tabah untuk mencapai swary,iaitu perintah diri di bawah swadeshi, Gandhi menggalakkan rakyat India memakai khadi seperti yang dibuat dan dipakai setiap hari olehnya, dan memulaukan pakaian dari kilang British.

Gandhi mengamal falsafah hidup asetikisme dengan menolak nikmat fizikal dan kebendaan mewah. Beliau berpendapat menyimpan harta persendirian telah melanggar prinsip kesepaduan humaniti. Oleh itu, beliau menggalakkan koperasi dan kehidupan komununal, iaitu sebagai satu keluarga dalam komuniti mereka. Di samping itu, beliau menentang sistem kasta dan mencabarnya dengan memanggil harijan sebagai kanak-kanak Tuhan.

Gandhi berusaha mencegah pepecahan India di antara penganut Hindu dan umat Islam, tetapi tidak berjaya. Selepas India mencapai merdeka pada tahun 1947, dan pada tahun berikutnya Gandhi dibunuh oleh Hindu fanatik yang sangsi Gandhi menggalakkan Islam di India.

2.2.9.2        RABINDRANATH TAGORE (1861-1941)

Merupakan seorang ahli falsafah, penyair dan pelukis dari India, mentafsirkan pendidikan sebagai proses yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang berfikiran sempurna, berupaya mencapai segala aspek kehidupan , seperti aspek fizikal, intelek, moral kerohanian, dengan penuh bermakna. Mengikut beliau, pendidikan harus menjadi satu proses yang berhidup, dinamik, serta realistik, iaitu tidak semata-mata terikat kepada buku tetapi harus dihubungkaitkan dengan pengalaman kehidupan manusia. Seorang yang berpendidikan dengan erti kata sebenar ialah orang yang bukan sahaja berfikiran cergas, saintifik, bersih, berani dan bebas, tetapi juga mendukung sikap nasionalisme yang ideal, mempunyai kecekapan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara, serta perpandangan jauh dengan sikap internasionalisme yang positif.

Jadual berikut direkodkan peristiwa-peristiwa penting dalam riwayat Tagore :

Tahun
Peristiwa penting
1861
Lahir di Calcutta, India
1877
Mengerbitkan koleksi puisi
1878
Belajar di sekolah United Kingdom mengkaji undang di Universiti College, London.
1880
Balik ke India tanpa ijazah
1913
Dianugerahkan hadiah Nobel dalam Sastera
1921
Membina Institude For Rural Construction untuk penduduk luar bandar belajar dengan percuma.
1927
Melawat Asia Tenggara termasuk Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, sambil menulis dan menghasilkan Karya Jetri
1941
Meninggal dunia.

Jadual 1 : Peristiwa-peristiwa penting riwayat Tagore

 

 

 

 

 

 

3       MENGAPA GURU PERLU MEMAHAMI KONSEP INI

3.1 MODAL INSAN

Dalam menapakkan kaki ke alam dunia tanpa sempadan masyarakat sebenarnya sedang digula-gulakan dengan pelbagai jenis hiburan dan aktiviti yang meruntuhkan nilai moral dan akhlak serta bercanggah dengan norma masyarakat di Malaysia. Cabaran-cabaran inilah yang perlu dihadapi oleh seluruh rakyat dalam usaha merealisasikan hasrat mantan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.

            Proses mencapai hasrat tersebut memerlukan satu usaha yang jitu dari masyarakat secara amnya. Guru menjadi qudwah hasanah (contoh teladan) bagi para pelajar terutamanya dalam konteks pelajar sekolah rendah. Masyarakat Melayu sinonim dengan pepatah ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Pepatah lama bukan bicara tanpa akal, namun tersirat seribu satu nasihat dan pedoman hidup. Begitu tinggi nilaian murid terhadap guru. Oleh hal yang demikian wajarlah untuk seorang guru memahami dengan saksama konsep modal insan. Ini kerana guru itulah nanti yang akan menjadi acuan kepada proses pembangunan modal insan.

            Tambahan pula guru merupakan medium penghubung antara masyarakat dan pihak pentadbir atasan seperti KPM dan kerajaan Malaysia. Justera wajar untuk seorang guru itu mengetahui dan memahami setiap dasar baru dan lama yang diperkenalkan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan taraf pendidikan negara. Sebelum disah jawatan para guru telah melafazkan ikrar yang terkandung dalam Tatasusila Profesion Keguruan (Mok Soon Sang, 2009):

“Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu…”

3.2 GURU SEBAGAI IBADAH

Guru tanpa mengira batas agama dan kaum wajar memahami konsep ini. Telah dijelaskan terdahulu yang mana semua agama di dunia ini amat memandang mulia kerjaya sebagai guru. Dalam aspek beragama, ibadah merupakan perkara utama dalam penilaian peribadi individu. Kesempurnaan ibadah seseorang akan menyumbang kepada penyempurnaan agamanya. Hal ini membawa individu tersebut untuk bersungguh dalam beribadah.

            Keralaan hati atau ikhlas amat penting dalam usaha melaksanakan ibadah. Jika dikaji dari perspektif Islam, amalan dan ibadah yang diterima di sisi Allah hanyalah amalan dari orang yang ikhlas. Ikhlas bererti melaksanakan taat semata-mata kerana Allah, tanpa memikirkan ganjaran manusia, ataupun penghormatan, dan bukan pula untuk memperolehi sesuatu keuntungan dunia atau menolak sesuatu bencana keduniaan. Jika seseorang guru memahami dan berpegang teguh dengan konsep kerjaya guru sebagai ibadah sudah pastinya dia akan melaksanakan tugasnya dengan penuh keikhlasan. Satu madah yang cukup halus dari Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali tentang ikhlas (Jabatan Ilmu Pendidikan IPGM Kampis, 2010);

“Manusia semuanya mati, kecuali yang masih hidup ialah orang yang berilmu. Tetapi, umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga ialah orang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas. Tetapi, ingatlah bahawa ikhlas itu berada dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk.”

 

 

 

 

 

 

 

4    
Rajah 22 : Ringkasan Tugasan

MODAL INSAN

UNSUR PERTAMA FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

TERAS KEDUA PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN

CABARAN KEEMPAT WAWASAN 2020

AHLI FALSAFAH




KESIMPULAN


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Seorang guru itu, perlu memahami dan memainkan peranan sebagai seorang guru. Mereka sepatutnya menganggap kerjaya ini sebagai satu ibadah supaya dapat melaksanakan kerja dengan ikhlas, tekun dan sentiasa berusaha untuk menjadi seorang penyampai ilmu yang baik bagi melahirkan insan-insan yang bukan sahaja bijak dalam akademik malah cemerlang dari segi akhlak pada masa hadapan bak kata pepatah Inggeris “generasi hari ini adalah pemimpin masa depan”. Inilah yang disebut sebagai guru pembentuk modal insan yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan. Seorang guru juga  haruslah memiliki nilai dan etika keguruan yang selaras dan menjurus kepada nilai-nilai keagamaan yang teguh dalam proses pembinaan negara bangsa. Memandangkan bidang pendidikan merupakan salah satu aspek penting dalam menjayakan harapan dan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dan bertaraf dunia.

            Rajah 22 di atas menunjukkan perkaitan yang rapat antara guru dan modal insan. Guru merupakan salah satu indikator kepada tahap pendidikan yang akan diterapkan ke dalam diri para pelajar. Di sinilah pentingnya guru memainkan peranan mereka mengikut situasi agar para pelajar berjaya menyerlahkan bakat dan kebolehan terpendam.