refleksi Bina Insan Guru 1


7.0 REFLEKSI

SITI MIRANI BINTI CHE RAHIM (900529035056)

 

Program Bina Insan Guru (BIG) dilaksanakan untuk memenuhi Latihan Perguruan Pra Perkhidmatan. Melalui program ini, unsur-unsur hidup bermoral dan beragama dapat diterapkan dalam diri saya serta rakan-rakan sebagai fokus utama dalam proses pembinaan insan guru. Ia juga merupakan satu program yang dilaksanakan bagi melahirkan insan guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah yang tinggi. Melalui aktiviti yang dijalankan, semangat berpasukan dan mengamalkan hidup bersepakat, bekerjasama dan bertanggungjawab kepada pasukan dapat ditingkatkan. Contohnya semasa aktiviti darat, kembara hutan. Rakan-rakan yang cedera ataupun kepenatan tidak ditinggalkan begitu sahaja tetapi dibantu oleh rakan-rakan yang lain.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, saya dapat menyiapkan folio Bina Insan Guru (BIG) bersama rakan-rakan saya yang sentiasa bersemangat dan berdedikasi. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada tutor kumpulan saya Encik Chai, kerana sentiasa berada bersama usrah kami sepanjang kursus Bina Insan Guru ini diadakan dan memberikan kerjasama yang terbaik dalam memastikan kumpulan kami supaya sentiasa bersedia dalam melakukan apa sahaja aktiviti. Tidak lupa juga kepada Kem Komandan kami iaitu En. Azahar kerana telah menjaga dan mentadbir kami dengan penuh dedikasi dan berkarisma. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada rakan-rakan sekelas saya kerana telah memberikan kerjasama dan menunjukkan sifat setia kawan yang begitu tinggi selama kursus Bina Insan Guru ini diadakan.

           

            Semasa hari pertama berada di Kem Alapong, Lundu, saya telah melakukan beberapa aktiviti yang begitu menyeronokkan. Sesi taklimat yang diadakan sebelum perkhemahan di dewan kuliah A bersamapara pensyarah juga amat bermakna kerana di sini saya telah diberitahu mengenai aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan semasa kursus Bina Insan Guru ini akan dijalankan. Saya juga telah telah diingatkan dengan peringatan keselamatan mengenai aktiviti berakit dan aktiviti air. Semasa aktiviti air, kasut air wajib dibawa bagi mencegah sebarang kecederaan dan memastikan para pelajar dapat bergerak dengan bebas semasa di dalam air. Bagi aktiviti darat pula, saya diberitahu mengenai persediaan kasut sesuai untuk berjalan di dalam hutan bagi mengelakkan tergelincir semasa bergerak.           

Setibanya di Kem Alapong kami diberi taklimat oleh Encik Mahdi .Selepas taklimat, saya bersama-sama ahli kumpulan khemah saya telah bersama-sama mengangkat barang ke khemah masing-masing dan kami membantu pelajar lelaki mendirikan khemah mereka. Sememangnya aktiviti ini amat mencabar dan memerlukan kerjasama setiap ahli kumpulan dalam memastikan khemah yang bakal dibina nanti tidak mudah jatuh atau rosak. Tambahan pula, kami juga harus memastikan cover sheet dipasang dengan elok kerana ingin memastikan air tidak memasuki khemah semasa hujan nanti.

           

Pada hari pertama ini saya mendapati hubungan keakraban bersama pelajar dari kelas Sains dan Bahasa Cina dan ahli kumpulan semakin bertambah rapat. Ini selaras dengan objektif Bina Insan Guru yang ingin memastikan para pelatih guru dapat membina hubungan sosial bersama masyarakat apabila posting kelak. Aktiviti seperti taklimat dan memasang khemah sememangnya mengajar kita tentang keukhwahan diri bersama kawan-kawan kita bak kata pepatah, “Berat sama dipikul, ringan sama dijunjung”. Sebagai bakal guru saya harus memastikan diri saya sentiasa bersedia dalam apa jua cabaran yang bakal mendatang dengan cabaran guru semakin bertambah mencabar dengan kerenah murid-murid pada zaman sekarang. Daripada kemahiran pula, saya telah memperbaiki lagi skill saya dalam memasang khemah secara betul dan tepat. Kemahiran ini dapat saya aplikasikan dalam dunia perguruan kelak di mana saya mungkin harus membawa murid-murid saya untuk pergi berkhemah. Oleh itu, amat penting sekali bagi diri saya untuk meningkatkan kemahiran diri dalam proses menjadi seorang guru yang berkaliber dan berkarisma.

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, saya haruslah menjadikan kursus Bina Insan Guru ini sebagai satu platform untuk terus menjadikan nilai-nilai guru sebagai jati diri saya agar satu hari nanti saya akan menjadi seorang guru yang baik. Segala nilai-nilai murni dan moral yang baik haruslah saya contohi agar semua nilai-nilai seorang guru dapat diterapkan dalam diri saya khususnya. Semasa aktiviti menyediakan makanan berdasarkan kumpulan, saya mendapati aktiviti ini sangat baik kerana pada waktu ini kita mengenali siapa yang mudah bekerjasama dan siapa yang tidak bertanggungjawab dengan tugas yang diamanahkan kepadanya. Oleh itu dapat saya katakan bahawa setiap orang tidak sempurna dan kita haruslah memperbaiki diri kita supaya lebih baik daripada sebelumnya.

Program BIG ini memberikan banyak faedah dan kebaikan kepada saya. Kebanyakan program yang dijalankan memberi manfaat sebagai persediaan saya yang bakal menjadi guru. Faedah yang utama yang saya dapat ialah kepentingan bekerjasama dan kesepaduan ketika berada dalam kumpulan. Hal ini demikian kerana  kebanyakan aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan. Tanpa kerjasama yang jitu, sesuatu kumpulan tidak akan melakukan tugas secara optimum. Kerjasama sepasukan amatlah penting. Tanpanya juga tiadanya persefahaman antara ahli kumpulan. Contohnya aktiviti tongkat amanah. Sekiranya semua ahli tidak bekerjasama dengan baik, pasti kumpulan tersebut akan gagal dalam aktiviti ini.

            Selain itu, memandangkan kebanyakan aktiviti berdasarkan kumpulan, ia melatih sikap kepimpinan ketua. Semasa BIG kami bergilir-gilir menjadi ketua ahli jawatankuasa dan ketua kumpulan setiap 6 jam sekali. Ketua memainkan peranan yang penting bagi memastikan kumpulan berada dalam keadaan yang sejahtera di samping menjaga kebajikan ahli kumpulannya. Selain itu, tanpa sikap kepimpinan seorang ketua yang berkaliber kumpulan tersebut tidak akan maju setapak. Di sini saya belajar sikap kepimpinan perlu wujud di dalam diri setiap manusia. Hal ini demikian kerana, sikap kepimpinan itu akan diaplikasikan ketika kita mengarahkan atau memberi arahan kepada murid-murid yang bakal kita didik dan asuh kelak.

            Tambahan pula, manfaat lain yang dapat saya peroleh ketika program ini ialah sikap berdiri atas kaki sendiri atau dikenali sebagai berdikari. Sikap berdikari ini muncul dan timbul dalam diri setiap peserta ketika para peserta mengikuti aktiviti air dan darat iaitu berakit, water confident, kembara, tongkat amanah dan sebagainya. Hal ini demikian kerana kami semua diminta memakan masakan yang dimasak sendiri. Barang mentah yang disediakan ialah ayam, ikan, bawang, beras dan sebagainya. Di samping itu, apabila diserahkan barang mentah ini, ia mewujudkan sikap tanggungjawab individu tersebut ke atas barang tersebut. Hal sedemikian akan menanamkan sikap tanggungjawab individu kepada segala tugas atau amanah yang diberikan. Hal ini dibuktikan apabila kami bergilir-gilir membawa periuk dan barang mentah yang bakal kami masak semasa aktiviti darat dan laut.

            Selain itu kebaikan lain yang saya peroleh ketika BIG ini ialah sikap kepercayaan peserta kepada ahli kumpulannya. Sewaktu berakit, kami semua diminta untuk berkumpul di satu tempat di tengah-tengah lautan. Setibanya kami di sana, peserta yang berada di belakang atau dipanggil sternman perlu berdiri di atas kayak. Di sini sternman perlu mempercayai dan yakin kepada rakan yang berada di hadapan untuk memegang peddle rakit bagi mewujudkan kestabilan.

            Manfaat yang seterusnya hasil daripada BIG ini ialah mengajar seseorang individu agar mempunyai stamina yang baik dan kuat. Hal ini demikian kerana, semasa aktiviti kembara, para peserta terpaksa mendaki dan menuruni curam yang curang serta berjalan jauh. Ramai peserta yang tidak berupaya atau tidak larat atau tercungap-cungap ketika berjalan di dalam hutan. Bagi seorang guru, penting baginya mempunyai stamina yang tinggi kerana tugas seorang guru bukan hanya mengajar di dalam kelas sewaktu P&P. Seorang guru juga perlu bergiat aktif di dalam aktiviti luar bilik darjah iaitu kurikulum di mana wujudnya persatuan dan kelab, unit beruniform serta sukan dan permainan. Jika seorang guru yang lemah dari segi stamina, kemungkinan besar sukar untuk guru tersebut melaksanakan setiap aktiviti luar bersama dengan para pelajar kelak.

            Kebaikan yang seterusnya ialah saya dapat belajar mengenai cara untuk mengagihkan kerja berdasarkan keupayaan masing-masing. Sewaktu program bersama kaunselor pelajar iaitu Puan Rojiah, saya dapat mengetahui keadaan psikologi saya banyak ke arah mana. Ini bermaksud adakah saya sebenarnya layak atau tidak untuk menjadi seorang guru. Bagi pendapat saya, soalan kajian yang dilakukan oleh John L. Holland perlu diambil oleh semua masyarakat demi menentukan tugas-tugas atau tanggungjawab yang sesuai dengan individu tersebut.

           

           Seterusnya, semasa slot ujian psikologi bersama Pn. Rojiah , saya telah dapat mengenalpasti apakah ciri-ciri serta kecenderungan saya terhadap sesuatu bidang. Saya mendapat skor SIC( Sosial, investigatif dan convensional). Melalui skor ini, saya dapat tahu kecenderungan saya ke arah mana dan sama ada saya sesuai untuk menjadi guru atau pun tidak. Walaupun skor untuk seorang guru adalah SAE ( Sosial, Artistik dan Enterprise), saya bernasib baik kerana melalui ujian yang saya jalankan, saya mempunyai skor sosial di mana skor ini sangat diperlukan untuk menjadi seorang guru.

            Tambahan pula, semasa BIG juga, walaupun kami melakukan banyak aktiviti fizikal, motivasi dan pengurusan kendiri, kami juga telah disediakan dengan tazkirah yang sangat berguna buat kami. Saya masih ingat lagi satu hadis Rasullah S.A.W yang disampaikan oleh Ustaz Ali dalam satu sesi tazkirah yang berbunyi: “Islam itu datang dalam keadaan dagang (asing) dan akan kembali dalam keadaan dagang. Maka beruntunglah orang yang dagang.” Hadis ini menerangkan bahawa Islam pada suatu ketika dahulu datang dalam keadaan asing di mana Islam ini tidak dikenali dan sangat sedikit golongan yang mengamalkan ajaran Islam dan Islam ini juga akan berakhir dalam keadaan asing juga. Jadi, beruntunglah orang yang dagang di mana golongan ini amatlah sedikit. Harapan saya semoga saya tergolong dalam kalangan orang yang dagang.

 

            Dengan adanya program BIG ini dapat mengeratkan lagi hubungan atau semangat kawan antara satu kumpulan. Hal ini demikian kerana jujur saya ingin mengatakan saya tidak berapa kenal dengan ahli kelas lain seperti Bahasa Cina Dan Sains. Jadi di sini, saya dapat mengenali mereka walaupun tidak 100 peratus lagi. Paling tidak pun saya dapat mengetahui nama dan tinggal di mana. Hal ini berlaku kerana masing-masing sibuk melakukan hal sendiri. Jadi di sini BIG menjadi medan untuk saya mengenali kawan-kawan saya yang sebelum ini tidak sempat bertegur sapa.

Akhir kata saya rasa beruntung kerana dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) terdapatnya aktiviti seperti BIG. Hal ini kerana tanpa BIG kemungkinan besar kita tidak dapat belajar bagaimana untuk menjadi guru yang baik. Secara tuntasnya, saya dapat katakan bahawa kursus Bina Insan Guru ini telah mencapai hampir kesemua objektifnya dalam melahirkan guru-guru yang cemerlang dan berkualiti mengikut piawaian Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya mengharapkan kursus Bina Insan Guru pada masa akan datang lebih menyeronokkan sekaligus lebih berkualiti dan bermafaat untuk para guru semua. Sedikit mutiara kata daripada Imam Ghazali untuk renungan kita semua,

 

Bersungguh – sungguhlah Engkau dalam menuntut ilmu, jauhilah kemalasan dan kebosanan kerana jika tidak demikian engkau akan berada dalam bahaya kesesatan. – Imam Ghazali

 

8.0 PENUTUP

            Kesimpulannya, program BIG iti telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya bagi melahirkan guru pelatih yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan rohani, mental dan fizikal serta bermanfaat kepada masyarakat selaras dengan nilai- nilai keguruan. Saya berharap semoga segala pengalaman yang saya kutip sepanjang program BIG ini dapat member manfaat kepada saya untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

            Para guru pelatih juga dapat menjalankan pelbagai ujian semasa program ini antaranya ujian konflik diri, mengenal potensi diri, kerjaya dan ijian psikologi. Melalui ujian ini, para guru pelatih dapat mengenali potensi diri dan kecenderungan masing-masing. Malah, para guru pelatih dapat membuat refleksi diri dan mengubah sikap masing-masing agar dapat terus menjadi seorang pendidik yang baik pada masa hadapan.